PUTRAJAYA: Guru yang didapati menggunakan Bahasa Malaysia (BM) sepenuhnya untuk mengajar Sains dan Matematik akan dikenakan tindakan memandangkan pemansuhan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 2012.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata dasar PPSMI masih digunakan hingga tempoh yang ditetapkan selaras dengan keputusan Kabinet, baru-baru ini.
“Kita akan mengambil tindakan terhadap guru yang didapati melanggar dasar PPSMI. Pada masa sama, pengetua atau guru besar dikehendaki memantau serta mengeluarkan surat amaran kepada guru yang didapati berbuat demikian.
“Perkara ini juga tidak sepatutnya berlaku (mengajar dalam BM) kerana sukatan mata pelajaran, buku teks subjek matematik dan sains serta perisian komputer masih menggunakan Bahasa Inggeris (BI),” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mengenai tindakan sekolah yang mengadakan peperiksaan dalaman dalam BI, Alimuddin berkata, kebanyakannya membabitkan sekolah di kawasan bandar kerana sekolah di luar bandar selalunya memilih mengadakan peperiksaan dalaman dalam dwibahasa iaitu BM dan BI.
Sementara itu, beliau berkata pemansuhan dasar PPSMI tidak dilaksanakan tahun depan berikutan kerajaan menghadapi beberapa kekangan terutama membabitkan penyediaan buku teks, guru terlatih, menggubal kurikulum, mengenal pasti buku rujukan sesuai dan menyediakan perkakasan seperti makmal BI yang mencukupi.
Katanya, sekiranya pemansuhan itu dilaksanakan terus tahun depan, guru pasti menghadapi masalah untuk menyediakan buku teks memandangkan setiap buku teks mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan, bermula dari proses menyediakan draf hingga dicetak.
“Begitu juga dengan penyediaan guru terlatih. Bila nak tambah masa pembelajaran BI kita memerlukan 13,000 guru...mana nak cari jumlah itu dalam masa tak sampai setahun. Nak melatih seorang guru pun mengambil masa lama, bukan mudah nak sediakan guru terlatih.
“Malah, penyediaan perkakasan seperti makmal BI juga memerlukan masa lama kerana membabitkan kos yang tinggi. Kita mempunyai 10,000 sekolah, kita tak mampu menyediakan untuk keseluruhan sekolah dalam masa singkat...ia perlu dibuat secara berperingkat,” katanya.