Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my
JOHOR BAHRU: “Apa dosa adik saya sehingga dia disimbah asid sedemikian rupa? Jika perempuan itu berstatus isteri, dia mungkin berhak marah tetapi apa yang saya tahu, mereka berdua sudah lama bercerai,” kata kakak kepada wanita mangsa simbahan cuka getah akibat cemburu selepas melihat bekas suaminya bersama perempuan lain.
Wanita berusia 29 tahun itu hairan mengapa kejadian buruk itu boleh menimpa adiknya sedangkan punca masalah adalah berkaitan hubungan lelaki berusia 25 tahun itu dengan bekas isterinya.
Selain itu, dia juga terkilan dengan sikap keluarga lelaki berkenaan yang langsung tidak mengambil berat dengan kejadian menimpa adik perempuannya.
“Sehingga semalam (kelmarin), hanya kakak lelaki terbabit saja yang datang melawat dan bertemu keluarga kami.
“Daripada perbualan, saya mengetahui lelaki itu sebenarnya pernah berkahwin dengan wanita berkenaan (suspek utama) tetapi mereka bercerai,” katanya.
Menurut wanita itu, akibat kejadian malang itu, adiknya mengalami parah pada muka dan badan sebelah kanan selain melecur teruk pada kaki kiri.
“Dengan keadaan adik saya sekarang, dia bukan saja tidak mampu bergerak, malah terpaksa dibantu untuk ke tandas dan mengalami kesulitan untuk makan.
“Paling membimbangkan, dia tidak pernah tidur lena dan sering meracau seolah-olah sedang meminta pertolongan,” katanya.
Mengulas perkembangan terbaru mangsa, wanita itu berkata, kesan kecederaan dialami adiknya itu teruk.
“Dia (adik) masih memerlukan rawatan intensif berikutan mengalami melecur serius,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan tindakan seorang wanita berusia 20 tahun yang menyimbah asid ke badan bekas suaminya dan seorang wanita lain sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa parah serta melecur hampir seluruh badan.
Tindakan itu bagaimanapun dipercayai didorong perasaan cemburu selepas melihat suaminya yang juga anggota polis berpangkat konstabel berdua-duaan dengan wanita terbabit.
-KHAMIS/19.8.09-